Bagi sesetengah individu, agak sukar untuk mereka mendapatkan nutrisi yang secukupnya. Bila usia makin meningkat, jumlah kalori yang diperlukan akan menurun. Setiap kalori yang diambil mestilah mengandungi jumlah nutrisi yang cukup untuk mengekalkan kesihatan yang baik. Jom ketahui beberapa nutrisi yang diperlukan oleh warga senior untuk kekal sihat!
Vitamin B12
Vitamin jenis ini adalah penting untuk menghasilkan sel darah merah dan DNA untuk mengekalkan fungsi saraf yang sihat. Jika anda dapat vitamin B12 yang cukup, ia akan membantu anda melawan masalah seperti tak berupaya untuk menyerap makanan dengan baik. Selain itu, warga senior perlu mengambil makanan sihat yang mengandungi B12 seperti ikan, daging, telur dan susu.
Kalsium
Nutrien ini memainkan peranan yang amat penting di dalam tubuh manusia terutama bagi mengekalkan kekuatan tulang. Makin berusia, makin banyak jumlah kalsium yang diperlukan oleh badan kita. Kekurangan jumlah kalsium akan memberi kesan negatif seperti tulang rapuh dan sebagainya. Jadi, amalkan kalsium melalui 3 gelas susu rendah lemak sekurang-kurangnya atau produk tenusu yang lain.
Potasium
Selain kalsium, warga senior juga boleh mengambil makanan berasaskan potasium untuk mengekalkan kekuatan tulang. Ia boleh membantu sel badan untuk berfungsi dengan baik serta mengurangkan tekanan darah dan mengelakkan penyakit batu karang. Ambil buah dan sayuran yang kaya dengan potasium seperti pisang dan ubi. Selain daripada itu, ia juga boleh didapati di dalam bentuk suplemen. Tetapi, anda perlu bertanya kepada doktor terlebih dahulu kerana jumlah yang terlalu sedikit atau terlalu banyak mungkin akan membahayakan kesihatan anda.
Vitamin D
Vitamin D pula boleh membantu badan untuk menyerap kalsium dan mengekalkan kepadatan tulang. Dalam kalangan warga senior, kekurangan vitamin D mungkin membawa kepada risiko penyakit. Untuk mengelakkan perkara sebegini, banyakkan memakan makanan yang kaya dengan vitamin D seperti bijirin, susu dan yogurt. Suplemen yang mengandungi vitamin D juga bagus untuk diamalkan. Tapi apa-apa pun jangan lupa untuk berbincang dengan doktor dahulu ya!
Serat
Serat memang terbukti dan dikenali dapat membantu melancarkan proses pencernaan yang lebih baik. Bukan itu sahaja, makanan yang kaya dengan serat seperti bijirin penuh dan sayuran turut membantu melindungi warga senior dari penyakit jantung. Ada banyak cara untuk mendapatkan sumber fiber, tetapi yang paling best adalah mencampurkan buah dan sayuran dan jadikannya salad yang sedap!
Lemak Omega-3
Haa ini lain sikit. Lemak Omega-3 yang sering dijumpai di dalam ikan ini memang ada manfaat yang sangat bagus ternasuklah mengurangkan simptom penyakit rheumatoid arthritis serta melambatkan proses penurunan tahap penglihatan dalam kalangan warga senior. Sebab itu mereka yang dah berusia kena makan banyak ikan dalam seminggu. Ikan seperti salmon, sardin dan tuna ada kandungan lemak Omega-3 yang tinggi. Kalau anda nak ambil dalam bentuk suplemen, jangan lupa tanya doktor dulu ya!
Sebagai kesimpulan, warga senior mestilah mencari solusi untuk mengekalkan kesihatan pada tahap yang terbaik. Dengan jumlah nutrisi yang mencukupi dan gaya hidup yang sihat, anda pastinya dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.