Tak kira umur, sarapan pagi adalah antara aspek penting dalam rutin harian kita. Namun, keperluan nutrisi badan kita akan berubah dan berbeza apabila kita mencecah usia emas. Sebab itu kita perlu mengambil berat pemakanan harian kita.
Warga emas perlu dibekalkan dengan nutrien yang tepat seperti mikronutrien untuk kekal sihat. Makanan yang tinggi lemak omega-3 seperti ikan dan kacang dapat membantu mencegah inflamasi, bantu menambah baik tahap penglihatan, dan mengurangkan risiko penyakit Alzheimer. Bukan itu sahaja, sarapan pagi yang sihat boleh menyokong kesihatan secara menyeluruh dengan meningkatkan tahap tenaga serta tumpuan dan mampu mengurangkan risiko penyakit seperti diabetes jenis 2 dan penyakit jantung.
Kadang-kadang tu memang konfius nak pilih bahan untuk menyediakan sarapan, betul tak? Jangan risau, ini ada 5 sarapan hebat yang anda boleh ikuti khas untuk diet warga emas!
1. Smoothie Rempah Pisang (Banana Spice Smoothie)
Smoothie pisang merupakan minuman sarapan klasik dan sememangnya lazat. Dengan penambahan rempah-rempah dan daun kefir yang baik untuk usus, resepi Smoothie Banana Spice ini berfungsi untuk pencernaan dan bantu pastikan inflamasi terkawal. Lagi satu, daun kefir yang dicampurkan di dalam smoothie ini berfungsi sebagai sumber vitamin B12 untuk warga emas.
2. Salad Buah (Fruit Salad)
Salad buah adalah sarapan yang paling senang, sihat dan mengenyangkan. Ia juga boleh diubah mengikut citarasa dan nutrisi yang diperlukan setiap individu. Elemen special resepi salad buah pastinya buah-buahan yang kaya dengan vitamin C beserta dos madu dan jus oren. Kalau nak jadikan salad ini lebih menarik, boleh tambahkan buah beri, kiwi, dan mangga untuk buat salad buah klasik, atau hirisan epal dan anggur untuk salad buah simple dan classy.
3. Jus Ubi Bit-Lobak Merah-Epal (Beet-Carrot-Apple Juice)
Mesti ramai yang tak pernah dengar jus ni dan mungkin rasa macam pelik sikit. Cuba dulu satu teguk jus ini, confirm terpikat! Gabungan jus yang berbeza ini sebenarnya terhasil daripada rasa manis dan mampu memberikan banyak manfaat kesihatan untuk warga umur senior khususnya. Ubi bit atau beetroot sangat baik untuk kesihatan otak, sementara lobak merah membekalkan vitamin A untuk menjaga penglihatan.
4. Roti Gandum Bakar Peanut Butter & Buah (Whole Grain Peanut Butter & Fruit Toast)
Roti bakar adalah salah satu sarapan kegemaran rakyat Malaysia. Tak perlu risau walaupun dah cecah usia emas, anda masih boleh nikmati roti bakar kesukaan tetapi dengan sedikit perubahan. Pilihlah roti yang kaya dengan gandum untuk pastikan diri mendapat serat, mineral dan vitamin pada tahap optimum dan tanpa perlu mengkompromi citarasa anda. Jom cuba resepi Roti Gandum Bakar dengan Peanut Butter dan hiasan dengan buah-buahan seperti blueberry, strawberi, pisang dan anggur.
5. Smoothie Protein Buah Kurma Beserta Coklat Gelap (Dark Chocolate Date Protein Smoothie)
Kebiasaannya bila dah cecah usia emas ni, memang jarang minum minuman coklat sebab takut ia memudaratkan kesihatan especially untuk yang menghidapi penyakit diabetes. Tetapi jangan risau, anda masih boleh menikmati coklat gelap dengan menggabungkannya bersama buah kurma untuk hasilkan satu smoothie yang memang sedap! .Paling best, anda tak perlu rasa bersalah pun kerana smoothie ini kaya dengan nutrien yang diperlukan badan.Smoothie ini memang power sebab mempunyai kombinasi coklat yang mengandungi zat besi serta magnesium yang tinggi.
Akhirnya, sarapan pagi yang berkhasiat adalah amat penting untuk para senior bagi menikmati hidup yang sihat serta berkualiti. Jadi pastikan anda mengambil sarapan setiap pagi supaya tahap prestasi kognitif dan tahap tenaga kekal aktif dapat dikekalkan sekaligus meningkatkan kesejahteraan hidup secara keseluruhan.