Sekiranya pil anti-penuaan ajaib wujud, kemungkinan pil itu adalah dalam bentuk kacang.
Kacang - termasuk semua jenis seperti kacang almond, walnut, kacang Brazil, pistachio atau kacang tanah telah dibuktikan berulang kali dapat mencegah perkembangan penyakit kronik, memanjangkan umur dan, dapat mengatasi inflamasi, satu-satunya ciri penuaan terbesar. Ada kajian juga mendapati bahawa orang yang makan kacang tujuh kali atau lebih dalam seminggu mempunyai risiko kematian 20% lebih rendah. Bukan itu sahaja, ia merupakan kategori snek yang menyihatkan untuk anda ambil pada bila-bila masa.
Jom ketahui 5 jenis kacang yang dapat menolong anda menua dengan sihat supaya anda dapat menjalani kehidupan yang lebih lama dan berkualiti!
1. Walnut - Kaya dengan asid lemak omega-3
Walnut mempunyai manfaat yang banyak kerana kacang ini mengandungi sejumlah besar asid alfa-linolenik (ALA) (2.5 gram per 1 oz.), iaitu asid lemak omega-3 berasaskan tumbuhan yang diperlukan oleh tubuh manusia. Ia berfungsi untuk meningkatkan jumlah kolesterol baik dan mengurangkan kadar kolesterol jahat di dalam badan. Selain itu, ia juga kaya dengan antioksidan yang sememangnya bermanfaat untuk sistem imun serta kecantikan kulit. Kalau anda nak tau, antioksidan di dalam walnut ini adalah dua kali ganda daripada jenis kacang yang lain.
2. Badam - Lemak Sihat untuk Kesihatan Jantung
Satu auns badam mentah (kira-kira 23 kacang) mengandungi kira-kira 120 kalori dan 14 gram lemak, di mana 8.7 lemak tak tepu jenis lemak sihat yang sama seperti yang terdapat dalam buah avokado dan minyak zaitun. Bila dimakan secara sederhana, lemak tak tepu boleh memberi kesan positif kepada kesihatan anda. Lemak tak tepu adalah ciri utama Diet Mediterranean, iaitu jenis pelan makan sihat yang dipercayai memberi manfaat dari segi peningkatan umur panjang dan mengurangkan risiko penyakit kronik. Menambah badam ke dalam makanan anda dapat menurunkan risiko penyakit jantung dan mengurangkan tahap kolesterol, menjadikannya makanan ringan yang baik untuk warga senior.
3. Kacang Pinus - Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung
Kacang pinus menawarkan pelbagai manfaat kesihatan kepada mereka yang di usia emas. Seperti kekacang yang lain, kacang pinus kaya dengan lemak tak tepu, magnesium dan vitamin E, yang berfungsi bersama untuk melindungi dan menyihatkan jantung. Ia juga secara semula jadi mengandungi sterol tumbuhan, sebatian yang dapat membantu menurunkan kadar kolesterol rendah lipoprotein (LDL). Kacang berasal dari pokok seperti kacang pinus ini juga boleh membantu tekanan darah rendah.
4. Kacang Gajus- Kesihatan Mata
Bukan lobak merah je yang boleh menyihatkan mata, kacang gajus pun ada manfaat yang sama! . Satu cawan kacang berbentuk U ini mengandungi 8 mikrogram lutein dan zeaxanthin, iaitu dua antioksidan kuat yang apabila dimakan secara harian dapat melindungi mata daripada kerosakan cahaya. Ia juga berperanan dalam mencegah degenerasi makula yang mempengaruhi bahagian tengah penglihatan anda, iaitu sesuatu yang sering berlaku dalam kalangan warga senior. Jadi, perbanyakkan kacang gajus supaya mata anda sentiasa sihat walaupun di usia emas!
5. Kacang Macadamia - Melancarkan Proses Penghadaman
Kacang macadamia penuh dengan serat dan lemak yang sihat. So bila anda menambah kacang macadamia dalam diet harian anda, memang bermanfaat dan bagus terutamanya anda yang sedang meningkat n usia. Dengan hanya sedozen kacang macadamia, ia dapat menyediakan sehingga 10% serat harian yang disyorkan, jadi dengan mengambil lebih dapat membantu dalam proses pencernaan dan usus. Jika anda amalkan pemakanan hanya 1/2 cawan kacang macadamia sehari sebagai snek juga dapat bantu menurunkan kolesterol jahat, dan risiko penyakit metabolik termasuk diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit kardiovaskular. Kacang macadamia juga tinggi thiamin, iaitu mineral yang sangat penting untuk sistem saraf yang sihat, dan penuh dengan mangan, mineral penting untuk membina dan mengekalkan tulang yang sihat.
Haa, sekarang anda dah tahu kan betapa banyaknya manfaat 5 jenis kacang ini. Dahlah sedap, sihat pulak tu! Memang wajib dijadikan makanan harian anda. Jom amalkan pengambilan kacang supaya tubuh badan anda dapat menikmati manfaat dan seterusnya memperoleh tahap kesihatan yang lebih baik.