Pengamalan diet yang baik apabila berumur 50 tahun dan ke atas adalah penting untuk memastikan kehidupan yang sihat dan sejahtera. Kebanyakan penyakit kronik yang dihidapi oleh warga emas adalah disebabkan pemakanan yang tidak sihat. Jadi, apakah pemakanan yang baik untuk warga emas? Jom kita mulakan dengan yang asas. Makanan yang seimbang untuk mereka yang meningkat usia mestilah kaya karbohidrat, protein, buah-buahan dan sayur-sayuran. Selain itu, ini nutrisi-nutrisi penting untuk anda:


1. Asid Lemak Omega-3

Makanan yang mengandungi tinggi asid lemak Omega-3 adalah penting untuk semua peringkat umur kerana ia mengurangkan risiko penyakit jantung, kanser, arthritis dan reumatoid. Ia juga telah terbukti secara saintifik melambatkan proses penurunan penglihatan. Asid lemak Omega-3 ini terkandung di dalam ikan salmon, sardin, tuna dan mackerel. Ia juga terkandung di dalam kekacang seperti kacang walnat, kacang soya dan flaxseed (biji rami). Pakar pemakanan menggalakkan untuk warga emas memakan makanan bersumberkan asid lemak Omega-3 ini sebanyak 2 kali seminggu.


2. Zat Besi

Makanan sihat yang mengandungi zat besi amat penting untuk badan anda. Ia menghasilkan hemoglobin yang membawa oksigen di dalam darah untuk disalurkan ke semua bahagian anggota badan. Kekurangan zat besi merupakan penyakit yang dikenali sebagai anemia dan ia akan mendorong ke arah masalah hati, letih dan lesu. Antara makanan yang kaya dengan zat besi adalah daging, kekacang, kismis, sayur hijau dan makanan laut. Jika anda tak makan daging, anda boleh mengambil sumber makanan lain yang kaya dengan zat besi agar badan anda dapat menyerap jumlah zat besi yang mencukupi. Tip tambahan, anda juga boleh mengamalkan makanan yang mengandungi vitamin C kerana ia membantu meningkatkan penyerapan zat besi di dalam badan.

 

3. Kalsium

Semakin meningkat umur, tulang anda akan semakin lemah disebabkan penyerapan semula kalsium dan fosfat daripada tulang anda yang boleh menyebabkan osteoporosis. Bagi wanita, menopaus merupakan punca utama kerapuhan tulang kerana berlakunya penurunan hormon estrogen. Bagi para lelaki pula, penurunan hormon testosteron mempengaruhi kerapuhan tulang. Pengambilan kalsium yang mencukupi serta vitamin D adalah penting untuk membina serta mengekalkan tulang yang kuat. Ia juga telah terbukti dapat mengurangkan tekanan darah. Majoriti makanan yang kaya dengan kalsium adalah produk tenusu seperti yogurt, susu dan keju. Menurut The World Health Organization, senior yang berumur 50 tahun dan ke atas perlu mengambil sebanyak 1200 mg kalsium setiap hari. Kalau macam tu, anda perlu minum 4 cawan susu yang anda gemari sama ada susu biasa, susu badam atau susu soya setiap hari untuk tulang yang kuat.


4. Serat

Serat merupakan nutrisi penting kerana ia membantu anda memiliki proses pencernaan yang sihat. Apabila umur anda meningkat, sistem pencernaan anda akan menjadi lebih perlahan dan ini akan menyebabkan sembelit. Makanan tinggi serat dapat memberikan pencernaan yang baik, mengurangkan risiko penyakit jantung serta menstabilkan berat badan. Selain itu, untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular seperti strok dan diabetes tahap 2, anda digalakkan untuk mengambil gandum, beras perang serta barli. Lebih menarik, kadar kolestrol juga dapat diturunkan jika anda mengambil makanan berserat sebanyak 3g atau lebih setiap hari.


5. Kalium (Potassium)

Kalium merupakan mineral dan elektrolit yang amat diperlukan oleh tubuh anda. Ia berfungsi untuk membawa nutrisi ke dalam sel yang akan membantu menyokong saraf yang sihat serta fungsi otot. Ia juga dapat membantu mengekalkan tekanan darah yang normal serta mengurangkan risiko penyakit batu karang. Jumlah kalium yang mencukupi dalam tempoh seharian adalah 4,700 mg. Makanan yang kaya dengan kalium adalah brokoli, bayam, ubi, cendawan, timun, tuna, avokado serta buah dilema.

Untuk memiliki badan yang sihat, kenalah pastikan anda mendapatkan nutrisi yang mencukupi melalui makanan yang anda makan setiap hari. Ini bagi memastikan anda mengamalkan pemakanan serta rutin yang sihat sepanjang usia emas anda. Bila badan sihat, hidup ceria!