Tak kira berapa pun usia anda, pemakanan yang sihat sangat penting untuk badan anda. Namun bila dah mencecah usia senior, mesti kerisauan bertambah dan baru nak mula makan makanan yang sihat. Di usia emas ini, ada makanan yang perlu diambil dengan lebih banyak untuk bantu beri tubuh yang lebih sihat.  

Ramai pakar yang memberi pandangan dan tip berlainan berkaitan topik ini, tetapi yang pasti semua setuju bahawa pengambilan buah-buahan amat penting bagi untuk tubuh badan. Jom ketahui 5 buah yang paling efektif untuk membantu anda mendapatkan proses penuaan yang sihat:

Kuatkan Minda dengan Beri

Beri adalah antara buah yang mempunyai pelbagai manfaat untuk kesihatan. Buah beri dapat bantu meningkatkan kekuatan memori kerana ia mengandungi ‘Anthocycanin’ iaitu antioksidan yang boleh membantu melambatkan proses kehilangan ingatan. Tambahan pula, antioksidan membantu dalam masalah kesihatan lain seperti penyakit jantung dan kanser. Bagi mereka yang kurang minat buah beri, anda boleh cuba ‘blood orange’ atau anggur.

Jaga Jantung dengan Betik

Penyakit kanser dan jantung adalah penyakit yang sering wujud dalam kalangan komuniti senior. Namun risiko untuk dapat penyakit-penyakit ini boleh dikurangkan dengan memakan betik. Ini kerana betik mempunyai pigmen karotenoid serta vitamin C dan E untuk bantu mengurangkan pengoksidan kolesterol di arteri badan anda. Senang cakap, makan betik boleh kurangkan risiko serangan jantung. Jika tak minat betik, buah seperti ‘cantaloupe’ atau tembikai susu, aprikot, manga dan ‘blueberry’ adalah pilihan alternatif untuk anda.

Makan Kiwi, Kukuhkan Imuniti

Takda orang yang suka sakit, kan? Memang tak senang duduk terutamanya bila dah makin berusia ni seba lebih berisiko. Tapi jangan risau, banyakkan makan buah-buahan seperti buah kiwi. Ia adalah salah satu sumber vitamin C dan E dan pengambilan buah ini dapat melawan bakteria serta jangkitan. Ini adalah peluang untuk pastikan diri anda dapat rasa sihat secara menyeluruh. Kalau anda tak suka kiwi, anda boleh juga cuba jambu batu. Memang sangat kaya dengan vitamin C!


Suka Pisang, Kurangkan BP

Antara masalah kesihatan yang famous dalam kalangan warga senior adalah penyakit tekanan darah. Kalium yang didapati dalam pisang merupakan salah satu nutrien penting bagi kesihatan jantung. Ia dapat menjaga tekanan darah supaya stabil dan memastikan jantung berdegup pada kadar yang optimum. Bukan sahaja itu, pisang adalah salah satu buah yang dapat bantu tangani masalah mereka yang sering sukar tidur dengan gabungan kalium serta magnesium yang berfungsi sebagai penenang otot. Kalau bukan pisang, buah kismis adalah alternatif bagi sumber kalium.

Oren Boleh Kuatkan Tulang

Memang oren biasa dikenali sebagai sumber Vitamin C tapi ramai jugak yang tak tahu ia mempunyai kalsium yang banyak. Kalsium memainkan peranan penting dalam menjaga kekuatan tulang terutama sekali untuk warga senior. Walaupun tidak memberi impak sama taraf dengan segelas susu, oren memang pilihan alternatif yang sesuai terutamanya bagi mereka yang tidak ambil makan tenusu. Kalau anda tidak gemar buah oren, boleh gantikan dengan ‘pear’ dan ‘prun’ untuk penuhi keperluan kalsium bagi diri.


Kesimpulannya, buah-buahan memang sangat penting untuk membekalkan vitamin dan nutrisi kepada badan. Senang sahaja, makanlah buah-buahan ini secara alternatif sebagai snek pagi dan petang anda. Selamat mencuba!