Individu yang telah berumur selalunya menganggap bahawa kesihatan fizikal adalah yang paling penting dan mengabaikan kesihatan mental. Sebenarnya, mental yang tenang juga membantu memberikan kesihatan fizikal yang lebih baik serta pelbagai manfaat jangka masa panjang. Meditasi adalah aktiviti yang paling senang untuk mengurangkan stres, meningkatkan tahap fokus serta dapat berhubung dengan lebih baik. Jom amalkan 5 langkah mudah meditasi ini.


1. Meditasi body-scan

Ini merupakan antara senaman meditasi yang berkesan melepaskan dan mengurangkan sebarang ketegangan di dalam badan. Anda boleh mencuba head-to-toe body scan dengan mengikuti langkah-langkah ini. Pertama, baring dengan tapak tangan anda ke atas dan jarakkan kaki anda sedikit. Kemudian, tutup mata dan fokus kepada pernafasan anda, pastikan ia stabil. Fokuskan pula kepada kaki anda, rasai jika ada sebarang ketegangan, dan lepaskan jika ada. Pastikan anda fokus pada satu bahagian pada satu masa untuk memastikan semua ketegangan dapat dilepaskan dengan baik. Anda boleh terus sambung langkah ini dengan anggota badan yang lain. Kembalikan fokus anda kepada anggota badan yang lain dan bernafas. Rasai pelbagai sensasi berbeza apabila menggunakan teknik ini. 



2. Meditasi Deep Breathing

Jika anda merasa stres atau terbeban, teknik ini mampu untuk menenangkan dan mengawal stres anda dengan cepat. Apabila berada di dalam situasi ini, pernafasan anda akan menjadi laju dan pendek di mana anda akan mula rasa pening dan tidak cukup nafas. Teknik deep breathing ini akan membantu anda macam mana untuk bernafas agar lebih rileks. Seperti biasa, anda mestilah kena berada dalam posisi duduk yang selesa, pastikan postur badan adalah tegak dan kedua-dua tangan anda dalam keadaan rileks. Kemudian, tutup mata dan fokus kepada ritma pernafasan anda. Tarik nafas dalam-dalam menggunakan hidung, tahan nafas dan lepaskan secara perlahan-lahan melalui mulut. Lepaskan semua nafas dan rileks. Ulang langkah sama sehingga anda rasa tiada lagi stres di dalam badan dan pernafasan anda kembali normal.


3. Visualisasi

Sentiasa menggambarkan perkara yang indah adalah antara cara yang baik untuk jadikan badan anda lebih tenang dan santai. Ia juga boleh memberi anda tidur yang lena kerana imaginasi anda membantu badan serta minda untuk berada di tahap yang selesa. Latih diri anda untuk mengimaginasi benda-benda menarik menggunakan deria anda. Tutup mata dan bayangkan diri anda di lokasi yang santai seperti di pantai. Kemudian, gunakan deria anda untuk rasa dan lihat imaginasi tersebut. Dengari bunyi laut, rasai angin pantai dan lihat burung yang berterbangan di udara. Indah kan? Ini dapat menambahbaik minda anda jika anda melakukan teknik ini sebelum tidur atau semasa anda perlu menenangkan diri anda.


4. Pemikiran perlu positif

Mencari perkataan atau ayat seperti doa atau kata-kata motivasi juga merupakan salah satu teknik meditasi. Ia dapat mengurangkan rasa resah/ gelisah anda kerana ia memberi kekuatan serta mempunyai manfaat secara rohani dan psikologi. Beritahu diri anda perkara-perkara yang positif serta fikir yang baik-baik untuk minda yang tenang. Bila anda amalkan ini, pasti anda akan menjadi seorang yang lebih positif dan bahagia apabila meningkat usia.


5. Senaman meditasi 

Senaman yang membantu mental fokus anda seperti yoga dan tai chi dikenali sebagai senaman meditasi. Ia merupakan campuran disiplin serta pergerakan fizikal yang memberi banyak manfaat kepada minda dan tubuh badan anda. Ia juga membantu memberikan keseimbangan, fleksibiliti serta badan yang kuat apabila anda semakin berusia.



Haa, sebenarnya mudah kan untuk bina minda yang tenang dan sihat? Anda tidak perlu pun menghabiskan wang ringgit atau melakukan perkara yang rumit. Semua tip di atas anda boleh buat setiap hari walau di mana sahaja anda berada. Jom praktis tip-tip ini supaya anda dapat melalui usia emas dengan sihat dan positif!