Macam yang kita semua tahu, senaman membantu untuk kita kekal fit supaya kita dapat hidup dengan lebih sihat. Jadi, tak kira anda umur berapa pun, adalah penting untuk anda bersenam dengan kerap supaya kekal sihat terutama sekali bagi warga emas. Paling penting, anda kena pastikan senaman yang dilakukan adalah bersesuaian sebab tak semua jenis senaman tu sesuai untuk warga emas. Ini adalah list jenis senaman yang boleh diamalkan untuk warga emas:
Jalan Pantas
Senaman ini adalah kurang intense berbanding joging. Tetapi, ia tetap bermanfaat kerana ia membantu meningkatkan kadar jantung dan menambahbaik otot anda. Untuk warga emas yang mengalami lutut atau buku lali lemah, senaman ini memang sangat sesuai sebab ia akan memberikan impak yang rendah kepada sendi anda. Berlainan dengan jalan biasa, berjalan dengan pantas boleh membantu anda berjalan dengan lebih laju serta memperbaiki postur badan anda.
Kayuh Setempat
Kayuh setempat adalah jenis senaman aerobik yang memang bagus untuk dilakukan dan ia tidak akan memberi kesan teruk kepada sendi anda. Jadi anda tidak perlu risau tentang sebarang risiko kecederaan. Alat untuk senaman ini boleh didapat di mana-mana gim tetapi jika anda mempunyai duit lebih, ini pastinya pembelian yang berbaloi! Anda juga boleh melakukannya sendiri dengan baring di atas katil atau mana-mana permukaan yang selesa dan lakukan gerakan kayuhan menggunakan kaki anda.
Berenang
Berenang amat dikenali sebagai antara senaman aerobik yang terbaik sebab ia tidak membebankan sendi anda kerana badan anda disokong oleh air. Jadi ia memang senaman yang sangat sesuai khususnya untuk mereka yang mempunyai penyakit seperti arthritis dan osteoporosis. Selain itu, berenang boleh menguatkan otot dan kesemua kumpulan otot yang terlibat dengan postur dan kestabilan badan. Ini secara tidak langsung akan mengurangkan risiko jatuh yang amat dikhuatiri dalam kalangan warga emas.
Tai Chi
Tai Chi merupakan senaman yang memang dikenali dapat memberi manfaat kepada keseimbangan dan fleksibiliti badan. Kebiasaannya ia dijalankan dalam kumpulan tetapi anda juga boleh melakukannya seorang diri. Bukan itu sahaja, ia adalah senaman yang amat baik untuk minda dan membantu badan serta otak untuk lebih rileks dan fokus. Memang sangat sesuai dan bagus untuk warga emas secara fizikal dan mental.
Kesimpulannya, tiada istilah terlambat untuk memulakan senaman dan kekal fit walaupun anda di usia emas. Kalau anda nak hidup yang lebih berkualiti kenalah amalkan aktiviti yang sihat yang bersesuaian. Selamat mencuba!