Cabaran hidup makin berbeza bila dah masuk usia senior khususnya dari segi kesihatan. Tapi ada banyak yang boleh anda lakukan untuk kekal sihat dan menikmati penuaan yang sihat.Penuaan sihat bukan bermaksud  nak nampak macam umur 20an tapi  ia lebih fokus kepada kualiti kehidupan terbaik  dengan memastikan diri kita mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang optimum.


Baca sampai habis untuk ketahui apa yang harus dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan untuk meniti usia emas dengan gembira.


1) Bersenam Dengan Kerap

Menjadikan senaman sebagai rutin dapat bantu mengurangkan tekanan seharian dan juga mengurangkan risiko penyakit tertentu seperti penyakit sakit buah pinggang. Mulai hari ini, jom amalkan senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari. 


2) Makan Diet Seimbang

Memakan makanan yang mengandungi  protein, karbohidrat, lemak, vitamin, dan mineral dapat meningkatkan tenaga anda dan membantu menurunkan berat badan. Ia juga mengurangkan risiko menghidap  penyakit jantung, strok, diabetes jenis 2 serta penurunan kadar ketumpatan tulang. Tip paling berguna adalah menambahkan lebih banyak makanan berwarna ke dalam diet anda . Kalau anda nak tahu, makanan berwarna biasanya mempunyai tahap antioksidan yang lebih tinggi. Jangan lupa juga untuk makan banyak bijiran dan protein tanpa lemak.


3) Pastikan Tubuh Cukup Air

Ramai  senior keliru bila nak tahu badan mereka kekurangan air atau tidak. Kadang-kadang tu tak perasan pun kurang minum air sehingga menyebabkan dehidrasi, seterusnya rasa pening, sembelit, dan lain-lain. Untuk elakkan asyik lupa minum air, isi sekurang-kurangnya 2.5 - 3.0 liter air dalam botol besar dan bawa saja kemana-mana anda pergi. Anda boleh juga setkan alarm  untuk minum air setiap jam. 

4) Jaga Kebersihan Gigi

Penuaan juga boleh meningkatkan risiko kadar penurunan rasa, mulut kering, penyakit gusi,dan kerosakan akar gigi. Oleh sebab itu, anda perlu memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari, amalkan flos selepas makan, dan lakukan pemeriksaan gigi 6 bulan sekali bagi menjamin kesihatan mulut anda.


5) Cabar Otak Anda


Bila makin berusia, risiko mudah lupa dan kehilangan ingatan atau lebih dikenali sebagai demensia akan meningkat. . Untuk kurangkan risiko demensia, anda kena amalkan gaya hidup aktif dan memperbanyakkan makan makanan yang baik untuk otak.  Selain itu, anda juga boleh aktifkan minda melalui aktiviti ringan seperti bermain muzik,  teka-teki silang kata, dan menikmati permainan bersama keluarga dan rakan. Aktiviti-aktiviti ini boleh mencabar minda dan paling penting dapat mengekalkan tahap kecerdasan minda walaupun telah meningkat usia.


6) Cukup Tidur Setiap Hari

Ramai jugak yang ada masalah susah tidur bila dah masuk usia emas ni. Tapi rahsianya adalah bila anda dapat tidur yang mencukupi, mood anda secara langsung akan bertambah baik dan tahap tumpuan serta ingatan semakin meningkat. Kalau anda nak tahu, pakar mengesyorkan tidur 7-8 jam setiap malam untuk pastikan mood anda lebih positif dan gembira dengan konsisten. 


7) Kurangkan Tekanan Stres

Tekanan stres jangka panjang boleh menyebabkan kemurungan dan risiko kehilangan ingatan pada tahun-tahun yang akan datang. Nak elakkan masalah ini? Anda kena cukup tidur, kerap bersenam, dan makan makanan yang seimbang. Kalau boleh, belajarlah hobi baru seperti meditasi dan yoga untuk bantu tenangkan badan dan minda. Selain itu, anda juga boleh mengisi masa lapang dengan membaca buku ilmiah atau bermain permainan yang menguji minda. 


8) Bergaul dengan Keluarga dan Rakan 

Proses penuaan boleh menjadi lebih sukar jika tak dapat berhubung dengan rakan dan keluarga. Anda kena ambil langkah untuk kekalkan hubungan sosial sebanyak mungkin untuk mengelakkan rasa terasing dan sunyi bila dah masuk usia senior. Kerap berhubung dengan anak-anak, saudara, jiran serta rakan-rakan. Banyak kajian telahmenunjukkan manfaat aktiviti sosial memang membantu  untuk kesejahteraan minda. 


9) Kerap Dikelilingi Alam Semula Jadi

Kalau anda nak tahu, ini adalah penghilang stres yang paling efektif! Dengan meluangkan masa dikelilingi alam semula jadi telah terbukti dapat meningkatkan daya tumpuan melalui kajian. Bukan itu sahaja, ia juga memudahkan penyerapan Vitamin D yang sangat diperlukan untuk menggalakkan pertumbuhan tulang dan fungsi imun. Dah ada masa terluang ni memang elok sangat kalau anda berkebun dan bercucuk tanam. Memang syok!


10) Jumpa Doktor secara Rutin

Pemeriksaan rutin dengan doktor anda sangat penting untuk sentiasa mengetahui tahap kesihatan badan, tambah-tambah bila dah masuk usia emas ni.. Lagi satu, anda sangat digalakkan untuk melakukan  ujian saringan khusus untuk penyakit kronik seperti kanser payudara dan kanser serviks, diabetes, osteoporosis, dan lain-lain. Jangan tunggu bila dah kena penyakit atau teruk baru nak pergi jumpa doktor ya! Cegah sebelum terlambat! 


Secara kesimpulannya, kalau nak alami penuaan yang sihat, kesihatan luaran dan dalaman memang kena jaga betul-betul.  Ingat, penting untuk anda amalkangaya hidup yang sihat, kelilingi diri dengan orang yang positif, dan lakukan perkara yang menggembirakan anda. Inilah hadiah terbaik untuk diri anda menikmati hidup secara menyeluruh.