Jom kelihatan lebih muda dan sihat dengan 5 tip yang terbukti dapat mencegah tanda-tanda penuaan. Untuk kekal sihat dan kelihatan muda, rutin harian anda memainkan peranan yang penting dan tidak terhad kepada penjagaan kulit muka sahaja.
1. Jaga kesihatan kulit anda
Kulit merupakan organ badan yang terbesar dan boleh berubah mengikut peredaran masa, khususnya menjelang usia emas. Rutin penjagaan kulit serta produk yang digunakan adalah penting bagi memastikan kulit anda sentiasa dalam keadaan cantik dan sihat. Jika anda tidak mengamalkan penjagaan yang sepatutnya atau menggunakan produk yang salah, kulit anda akan mencerminkan umur anda yang sebenarnya. Ingat ya, penjagaan kulit muka bukan hanya untuk wanita! Lelaki juga perlu amalkan yang sama demi kulit yang lebih sihat dan remaja.
- Gunakan pencuci muka yang lembut
Kunci kepada kulit yang cantik dan sihat adalah dengan menggunakan pencuci muka yang lembut kerana muka kita akan menjadi lebih sensitif pada usia emas. Pastikan anda menggunakan pencuci muka dengan pH yang rendah supaya kulit yang ideal dapat dikekalkan.
- Lembabkan kulit anda
Bila semakin tua, kulit anda akan lebih mudah kering dan sebab itu anda sangat digalakkan untuk menggunakan pelembap muka yang bagus. Gunakan pelembap muka yang mengandungi gliserin dan asid hyaluronic kerana ia merupakan humektan yang memerangkap air. Anda juga boleh menggunakan Vaseline atau mineral oil pada waktu malam untuk pastikan kulit anda kekal lembab.
2. Bersenam secara konsisten
Kebiasaannya, orang ingat kalau pergi gim je baru boleh kekal aktif. Salah tu! Sebenarnya, senaman yang ringan dan di rumah pun dah cukup bermanfaat untuk anda. Anda boleh keluar berjalan, bermain dengan cucu ataupun mengikuti kelas yoga/ tai chi. Senaman membantu menjaga kadar degupan jantung, membina otot serta mengekalkan postur badan yang baik di usia emas.
3. Amalkan diet sihat
Mungkin ada yang memandang remeh mengenai perkara ini tetapi diet yang bagus akan memberi kesan positif kepada kesihatan, penampilan serta mood anda. Diet yang sihat serta penuh dengan nutrisi mestilah mengandungi buah, sayur, bijirin penuh, protein tanpa lemak serta makanan rendah gula. Pengamalan nutrisi yang lengkap akan membantu melambatkan penuaan. Jangan lupa untuk amalkan suplemen juga seperti vitamin untuk memberi lebih kekuatan dan tenaga seharian.
4. Kekalkan minda dan sikap yang positif
Berfikir secara positif pastinya akan dapat membantu anda untuk kekal ceria dan kurang stres. Pastikan mood anda sentiasa ceria dengan memanfaatkan usia anda, melakukan perkara yang anda suka serta meluangkan masa bersama yang tersayang. Apabila anda menghargai usia emas serta kekal positif, ia akan membantu anda untuk hidup lebih sihat dan lebih lama.
5. Dapatkan rehat serta tidur yang cukup
Poin yang terakhir ini memang sangat penting untuk kesihatan mental dan tubuh badan anda. Pastikan anda tidur selama 7-8 jam setiap malam untuk kekal sihat dan bertenaga di usia emas ini. Dah banyak kajian yang membuktikan bahawa tidur yang cukup memberikan banyak manfaat untuk kesihatan dan badan kita. Antaranya, meningkatkan tahap fokus, mengurangkan risiko strok, masalah jantung serta obesiti.
Penuaan memang tidak dapat dielakkan, jadi sebab itu anda perlu amalkan rutin hidup yang sihat supaya anda dapat melalui usia emas dengan sihat dan sejahtera. Penuaan yang terbaik adalah apabila anda sentiasa gembira dan sihat. Jika anda mempunyai tanggapan negatif mengenai penuaan dan risau akan kesihatan, anda perlu mendapatkan bantuan. Minta sokongan dan nasihat daripada ahli keluarga atau anda juga boleh berjumpa pakar jika ia membabitkan kesihatan mental serta fizikal. Yang paling penting, dekatkan diri anda dengan perkara-perkara yang membahagiakan dan jangan lupa amalkan tip-tip di atas untuk kehidupan yang sihat dan sejahtera!