Tiada yang lebih berharga melainkan keluarga kerana ia merupakan hadiah tidak ternilai dalam hidup. Hubungan sesama ahli keluarga adalah sangat penting kerana ia boleh memberi kesan yang mendalam terhadap hidup secara menyeluruh. Jika anda nak tahu, kesunyian merupakan antara masalah yang dihadapi warga senior di usia emas dan ini boleh mendorong kepada risiko yang lebih tinggi terhadap masalah kesihatan (berkaitan umur) serta depresi. Untuk mengekalkan hidup yang sihat dan bermakna bersama anak anda di usia emas, berinteraksilah secara kerap dengan keluarga kerana ia boleh menambahbaik hubungan serta kesihatan. Jom ketahui 3 tip yang boleh dipraktikkan untuk mengekalkan hubungan yang rapat dengan anak yang telah dewasa.


Tetapkan Masa Bersama Keluarga

Apabila anak anda makin dewasa dan sedang melalui alam kedewasaan, mereka akan banyak menghabiskan masa bekerja atau mempunyai jadual tersendiri setiap minggu. Sebab itu, anda perlu merancang untuk masa bersama keluarga. Tanyakan jadual anak-anak serta cadangkan masa atau hari tertentu khas untuk diluangkan bersama keluarga seperti melakukan aktiviti atau makan bersama.


Berkomunikasi Dengan Baik

Memiliki komunikasi yang jelas dan baik adalah kunci kepada hubungan yang berkesan dengan anak anda yang telah dewasa. Anda boleh menyenaraikan dengan anak anda mengenai perkara yang kalian inginkan dan perlukan bersama. Ini boleh membantu anda berdua untuk lebih memahami serta menghargai perbezaan diri masing-masing. Perubahan ini memang perlu dihadapi kerana anak anda akan sibuk dengan kerjaya, rakan dan hubungan cinta pada fasa ini. Bila anak anda tahu dan faham mengenai perasaan anda atau apa yang anda perlukan, ia akan menguatkan hubungan serta sokongan di antara anda berdua. Selain itu, kesihatan mental anda juga dapat ditambahbaik dan minda yang positif dapat dikekalkan.


Menggalakkan Sokongan

Perasaan disokong oleh keluarga adalah perlu dalam membina hubungan keluarga yang kukuh. Sokongan yang diberi dan diterima oleh anak-anak akan berubah apabila anda makin berusia Anda boleh lihat peranan anda yang menjaga mereka dahulu kini telah bertukar di mana anda pula yang perlu dijaga. Memandangkan sistem imun anda juga tidak lagi kuat, anda memerlukan sokongan emosi dan fizikal yang mencukupi daripada anak-anak. Beritahu mereka mengenai kesihatan dan masalah yang melanda anda. Ia akan membantu kedua-kedua pihak untuk memahami antara satu sama lain dan menambahbaik hubungan kekeluargaan.

Memahami perubahan di antara anda dan anak anda yang sudah dewasa adalah penting untuk mengekalkan hubungan kekeluargaan yang harmoni. Dengan meluangkan masa berkualiti bersama, komunikasi yang jelas serta sokongan daripada keluarga, ia akan memberikan perubahan positif yang besar kepada hidup anda. Sentiasalah berusaha untuk mengukuhkan hubungan yang harmoni dengan anak-anak agar jiwa sentiasa bahagia dan sihat sentiasa.